Islam sebagai agama yang sempurna dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia tidak lupa mengajarkan kita supaya merancang kewangan sebagai persediaan dalam mengharungi masa susah. Lihatlah pengajaran daripada peristiwa yang dikisahkan dalam Al-Quran, tatkala seorang raja meminta Nabi Yusuf menafsirkan mimpinya.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud
“Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya) ‘Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk di makan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan tujuh lainnya yang kering. Hai orang-orang terkemuka Terangkanlah kepadaku tentang ta’bir mimpiku itu jika kami dapat mena’birkan mimpi.
Mereka menjawab ‘Itu adalah mimpi-mimpi kosong dan kami sekali-kali tidak tahu mena’birkab mimpi itu.
Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berduaa dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya ‘Aku akan memberitakan kepadamu tentang (orang yang pandai) mena’birkan mimpi itu, maka utuslah aku kepadanya.
(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru) ‘Yusuf hai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya.
Yusuf berkata ‘Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.
Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan manusia memeras anggur.” (Surah Yusuf : 43 – 49)
Tidakkah Allah mengajar kita di sini supaya membuat perancangan dan juga melakukan sesuatu bagi persediaan di hari muka?
Dalam kehidupan hari ini yang banyak urusan memerlukan wang, umat Islam perlu membuat perancangan jangka panjang demi kepentingan diri dan keluarga. Kita perlu bertanya pada diri soalan-soalan mudah seperti:
Apakah simpanan yang telah kita sediakakan untuk pelajaran anak-anak kita? Bagaimanakah kita dapat menyara diri semasa hari tua?
Bagaimana jika kita sakit, cukupkah simpanan kita untuk menampungnya? Berfikirlah saudaraku sekalian….
Namun berfikir tanpa melakukan sesuatu tidak akan membawa kita ke mana, kecuali apabila kita melakukan sesuatu bagi mengubah situasi dan meningkatkan nilai dan status kewangan kita. Sebagai langkah permulaan, suka saya berkongsi melalui mimbar masjid ini beberapa panduan sebagai peringatan kita bersama. Antaranya:
Pertama: Menyusun semula dasar kewangan keluarga
Setiap keluarga sewajarnya merenung semula perbelanjaan dan gaya hidup yang telah ditetapkan. Kita perlu bertanya diri kita, adakah gaya hidup yang kita nikmati sekarang ini adalah bersesuaian dengan kemampuan kita sekeluarga?
Adakah selepas ditolak campur, kita mampu mengagihkan wang untuk simpanan? Bagaimana pula dengan perancangan tambahan bagi masa depan diri sendiri dan keluarga, samada di hari susah atau untuk persekolahan anak-anak jika berhasil ke universiti kelak?
Jika jawapannya adalah negatif, maka kita perlu merombak kembali dasar perbelanjaan keluarga. Catitlah segala apa yang biasa dibelanjakan pada tiap bulan. Fikirkan bersama dengan isteri supaya dapat dilakukan sesuatu untuk mengurangkan segala perbelanjaan agar agihan dapat diperuntukkan bagi simpanan wang dan perancangan masa depan.
Kedua: Hidupkan amalan menabung
Bagi memastikan kita dapat menabung, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan perbelanjaan tidak melampaui wang pendapatan bulanan.
Oleh yang demikian, golongan yang berpendapatan tinggi tetapi mempunyai gaya hidup yang tinggi menyamai atau melebihi pendapatan, pastinya tidak dapat menabung.
Ini bermakna bagi menabung, bukan gaji besar atau kecilnya yang menjadi ukuran, tetapi komitmen dan disiplin dalam memastikan kita memperuntukkan peratusan tertentu gaji bulanan untuk simpanan, sebelum kita merancang lain-lain perbelanjaan.
Ketiga: Amalan berjimat cermat dan tidak membazir.
Bagi memastikan kita dapat memperuntukkan wang untuk simpanan, maka sewajarnya kita perlu menghidupkan amalan berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja atau membazir.
Ini dapat dilakukan seperti dengan mengawal penggunaan air dan elektrik di rumah. Amalan yang kurang sihat seperti tabiat merokok juga seharusnya dikurangkan dan seterusnya dibuang.
Bayangkan jika kita dapat mengurangkan tabiat merokok daripada sekotak kepada separuh kotak sahaja dalam sehari. Kita telah dapat menjimatkan wang perbelanjaan merokok sebanyak lebih kurang $5 sehari atau hampir $ 2,000 setahun! Bayangkan saudara-saudara sekalian, jumlah $2000 boleh digunakan untuk pelbagai manfaat diri dan keluarga. Tidakkah kita mahu merebutnya?
Tabiat-tabiat lain yang boleh dikurangkan ialah seperti amalan makan luar atau perbelanjaan yang diperuntukkan untuk hiburan seperti menonton wayang dan sebagainya.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud. "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila berbelanja, dia tidak melampaui batas dan tidak bakhil. (Sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqaan: 67)
Keempat: Elakkan berhutang.
Elakkan seberapa daya daripada memulakan hutang yang baru kecuali dalam perkara yang betul-betul memerlukan. Kita juga perlu bijak menilai dan mengutamakan ‘keperluan’ atau ‘needs’ berbanding dengan ‘kemahuan’ atau ‘wants’.
Ingatlah, perancangan kewangan yang bijak dalam berhutang ialah hanya memperuntukkan tidak lebih dari ¼ sahaja pendapatan bulanan kita untuk hutang atau bayaran ansuran.
Fikirlah berulang kali sebelum memulakan ansuran baru dan patuh pada perancangan yang telah dilakukan dengan mencatit segala perbelanjaan keluar dan masuk.
Ingatlah pesanan baginda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Ya Tuhanku! Aku berlindung diri dengan-Mu dari belenggu hutang dan dalam kekuasaan orang lain.” (Riwayat Abu Daud)
Semoga panduan yang dikongsi bersama di sini dapat memberi kita kemahiran perancangan kewangan yang berkesan, seterusnya kita akan lebih mampu berjimat dan mengelakkan daripada melakukan pembaziran yang berterusan dan berhasil memperuntukan sebahagian pendapatan kita bagi simpanan di hari muka.
Teks Ucapan daripada Majlis Ugama Islam Singapira (Muis)
No comments:
Post a Comment